Salman Khan Didakwa Di Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga Pakistan yang ditahan kerana melakukan ugutan ‘merampas pesawat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

 

Tertuduh, Salman Khan, 62, didakwa melakukan dengan sengaja mengaibkan hingga mendatangkan marah pada seseorang dengan maksud akan menyebabkan memecah keamanan awam di kaunter pintu B2, KKIA pada 16 September lalu.

 

Tertuduh yang juga peniaga mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

 

Berdasarkan fakta kes, Salman yang beralamat di Taman Bersatu, Putatan, ditahan selepas melakukan ugutan untuk merampas pesawat di pintu berlepas B2, KKIA pada jam 8.40 pagi.

 

Dia yang dalam perjalanan menaiki penerbangan ke Brunei, mengeluarkan ugutan “I’m hijacking your airplane” selepas tidak berpuas hati dengan seorang kakitangan syarikat penerbangan yang meminta pasport untuk pengesahan sebelum masuk ke dalam pesawat.

 

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Azaman Hamat manakala tertuduh diwakili peguam Samson Ku.

 

Stephanie bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin sehingga mahkamah memperoleh surat pengesahan daripada kedutaan Pakistan berhubung kerakyatannya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.