Peranan Sultan Nazrin Dapat Pujian Di PBB

NEW YORK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah diberi sanjungan kerana sumbangan baginda sebagai anggota Panel Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan Kemanusiaan di persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian di sini.

 

Presiden Bulgaria Rosen Plevneliev melahirkan sanjungan itu ketika berucap pada Sidang Peringkat Tinggi mengenai langkah menangani pergerakan besar-besaran pelarian dan migran, diadakan bersempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA).

 

“Bulgaria menyambut baik sumbangan cukup bernilai Panel Peringkat Tinggi mengenai Pembiayaan Kemanusiaan yang dipengerusikan bersama oleh Naib-Presiden Suruhanjaya Eropah Kristalina Georgieva dan Baginda Sultan Nazrin Shah, Perak,” kata beliau, lapor Bernama.

 

Dalam pada itu, Presiden berkata gerak kerja mereka menonjolkan keperluan diadakan kerjasama rapat antara tindakan kemanusiaan dan pembangunan.

 

Terdahulu, Malaysia diwakili di mesyuarat itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-71 UNGA di sini.

 

Dalam satu pengumuman mengenai penubuhan panel peringkat tinggi pada 21 Mei, 2015, Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon berkata satu daripada cabaran paling penting yang mendepani sistem kemanusiaan hari ini ialah jurang semakin melebar antara peningkatan bilangan orang yang memerlukan bantuan dengan sumber yang perlu cukup untuk usaha pemulihan.

 

Menurut PBB, dalam sedekad lalu, permintaan bagi bantuan kemanusiaan telah meningkat pesat dengan bilangan orang yang memerlukan meningkat sekali ganda sejak 2002, kepada lebih 100 juta sekarang.

 

Keperluan pembiayaan kemanusiaan bagi 2015 berjumlah US$19.1 bilion, naik dari US$3.4 bilion pada 2004.
Panel itu ditugaskan mengkaji cabaran-cabaran pembiayaan dan mengenal pasti cara-cara untuk mengatasi jurang antara keperluan yang meningkat dengan sumber yang ada.

 

Laporan keputusan ‘Too important to fail – addressing the humanitarian financing gap’ (Terlalu penting untuk gagal – menangani jurang pembiayaan kemanusiaan) dilancarkan di Dubai pada 17 Jan, 2016.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.