McDonalds Minta Maaf Kes ‘Serpihan Plastik’ Dalam Ice Blended

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan McDonalds hari ini tampil menjelaskan mengenai isu ‘benda asing’ yang ditemui dalam minuman yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

 

Pengurusan restoran makanan segera itu melalui satu kenyataan media yang dihantar kepada SuaraTV berkata kesal dengan kejadian tersebut.

 

“Berdasarkan penyiasatan kami ke atas insiden “ice blended”, kami ingin menjelaskan bahawa benda asing yang ditemui di dalam minuman tersebut adalah serpihan bahan plastik keras daripada penutup pengisar McCafe, dan bukannya serpihan gelas seperti yang dilaporkan oleh pihak lain sebelum ini.

 

“Insiden ini amat dikesali dan kami sedia maklum yang terdapat kesilapan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard di restoran tersebut. Selain itu, kami juga telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan kejadian sebegini tidak berulang lagi,” memetik kenyataan tersebut.

 

McDonalds turut menegaskn pihaknya memandang serius akan insiden tersebut dan akan terus mengukuhkan kesemua prosedur di rangkaian restoran milik mereka.

 

“Berkenaan insiden ini, kakitangan kami telah membawa pelanggan tersebut ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan perubatan. Kami difahamkan yang pelanggan tersebut kini beransur pulih dan kami turut berkomunikasi dengan beliau menerusi ahli keluarganya bagi memantau perkembangan beliau.

 

“Kami ingin menegaskan yang keselamatan dan kesejahteraan para pelanggan adalah keutamaan kami dan kami tidak akan berkompromi atas nilai-nilai kami, dan akan terus mengukuhkan kesemua prosedur operasi standard di restoran-restoran kami,” ujar kenyataan itu lagi.

 

Rabu lalu, SuaraTV melaporkan mengenai insiden seorang pelanggan yang mengalami luka dibahagian tekak selepas menikmati minuman tersebut di McDonalds cawangan Pengkalan Station 18 di Ipoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.