“Kami Bimbang Rumah Tenggelam”

KLANG – “Bukan sehari sekali air masuk rumah, tapi dua kali sehari, macam mana kami nak kemas rumah dengan anak-anak sekolah lagi, semuanya jadi kelam-kabut sebab terpaksa berpindah-randah,” kata Norlia Razalali, 40, mangsa banjir di Kampung Tok Muda, di sini, semalam.

 

Menurutnya, bencana banjir itu adalah yang terburuk dalam tempoh 18 tahun sejak dia dan keluarganya menetap di kampung berkenaan pada tahun 1998.

 

“Sejak Ahad lalu kami dah jadi macam pelarian, tak lena tidur malam sebab risaukan rumah tenggelam disebabkan benteng yang menghalang air laut pecah.

 

“Pagi dan petang air masuk rumah dan kami tidak boleh buat apa-apa apabila pihak berkuasa menyuruh kami berpindah atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui di Dewan Tok Muda, di sini, semalam.

 

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, sehingga jam 7 malam tadi seramai 224 mangsa banjir dari 52 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Kampung Tok Muda; Kampung Tok Adam, Tanjong Karang dan Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

 

Kampung Tok Muda mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 152 mangsa daripada 34 keluarga yang terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka dinaiki air.

 

Tinjauan Harian Metro di sekitar benteng berkenaan mendapati kesan runtuhan masih belum dibaik pulih, namun banjir mulai reda berikutan air laut surut.

 

Penghulu Mukim Kapar, Yusri Abdullah berkata, fenomena air pasang besar bukanlah perkara baru bagi penduduk berkenaan berikutan kampung itu berdekatan dengan laut.

 

“Cuma kali ini luar biasa kerana ini kali pertama air laut melepasi benteng yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pecah dan air memasuki kediaman penduduk.

 

“Bagaimanapun, saya berharap pihak JPS mencari jalan penyelesaian seperti membaiki serta menaik taraf benteng sedia ada agar bencana ini tidak berulang kembali pada masa depan,” katanya.

 

Sementara itu, tiga sekeluarga yang terpaksa dipindahkan di Balairaya Lorong Hamzah 2, Bagan Pasir, Tanjung Karang berharap fenomena air pasang besar akan segera berakhir supaya mereka boleh pulang semula bagi membersihkan kediaman masing-masing.

 

Mohd Noor Yahya, 56, berkata, ia adalah pengalaman pertama menghadapi banjir kilat selepas 15 tahun menetap di kawasan berkenaan.

 

“Sebelum ini kalau air pasang besar sekalipun, air tidak akan sampai ke paras buku lali, tetapi kali ini sehingga mencecah ke paras lutut dan ia naik mendadak sehingga kami tidak sempat menyelamatkan barangan rumah.

 

“Apa yang kami boleh lakukan adalah berlindung di kawasan lebih tinggi dan ada beberapa penduduk kampung turut membantu kami memindahkan barangan yang boleh diselamatkan ke dewan berhampiran,” katanya ketika ditemui. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.