Bekas Wartawan Hina Islam Diberi ‘Ceramah Agama’

KUALA LUMPUR – Bekas wartawan Sidek Kamiso yang ditahan polis kerana dituduh menghina Islam, berkata beliau disoal siasat perihal kepercayaannya dan pendirian politik, lapor Malaysiakini.

 

Portal itu memetik Sidek sebagai berkata polis turut bertanya sama ada beliau sudah bertukar mazhab.

 

“Mereka bertanyakan pelbagai soalan bagi menggusarkan saya,” katanya.

 

Sidek ditahan awal pagi Isnin di rumahnya di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Johor Bahru.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Johor Bahru menolak permohonan polis melanjutkan siasatan terhadap beliau dan seorang lagi atas tuduhan menghina Islam, selepas komen Twitter mengenai Datuk Dr Haron Din, mursyidul am PAS yang meninggal dunia Jumaat lalu di Amerika Syarikat.

 

Menceritakan tindakan polis menyerbu rumahnya pada jam 4.30 pagi, Sidek berkata isterinya menghalang polis yang cuba memasuki bilik tidur anak mereka.

 

Katanya, insiden itu mengganggu anak perempuannya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun, yang menyangka rumah mereka dirompak.

 

Sidek berkata beliau turut disoal mengenai agamanya, malah salah seorang pegawai polis memberikan “ceramah agama” selama 10 minit.

 

“Saya hanya mendengar,” katanya dipetik portal itu.

 

Sidek yang berkata keluarganya trauma disebabkan insiden penangkapannya, merancang berjumpa pakar psikologi esok.

 

“Jika ia trauma untuk saya, apa lagi untuk anak-anak. Sehingga sekarang, saya tidak dapat tidur,” katanya.

 

Beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyaman polis, tetapi berkata tidak berniat menghina sesiapa melalui kirimannya di Twitter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.