Mereka Mahu Pergunakan Kekuatan PAS

KUALA TERENGGANU – Kesemua parti khususnya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara disifatkan sangat berhajat supaya Pas sertai PR 2.0.

 

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, ini sebab kekuatan yang ada pada Pas tiada pada parti lain dan Pas dilihat boleh membantu menampung kekuatan ketiga-tiga parti itu.

 

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kekuatan Pas mungkin dipergunakan pihak terlibat untuk memastikan sokongan rakyat terhadap pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

 

“Kalau berlaku pilihan raya pada bila-bila masa, sudah tentu tenaga Pas diperlukan untuk membantu. Kalau kita dalam PR 2.0, kita perlu bertungkus-lumus untuk bekerja (termasuk memenangkan calon parti lain dalam PR 2.0). Di sini, kekuatan Pas dipergunakan,” katanya.

 

Beliau berkata, walaupun Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu pendirian Pas untuk tidak menyertai PR 2.0 akan memudahkan penubuhan pakatan yang baharu itu, beliau percaya penyertaan Pas sangat diharapkan kerana Pas mempunyai akar umbi yang kuat.

 

“Pas ada di seluruh tempat dan seluruh negara, DAP pula sekitar bandar, PKR di sekitar Pantai Barat dan tidak begitu kuat di Pantai Timur manakala Parti Amanah Negara tidak tahu bila hendak ditubuhkan.

 

“Jadi, Pas ada di seluruh negara yang tiada pada parti lain. Pas sudah lama dikenali, tidak perlu diperkenalkan lagi serta ada ‘track record’. PKR, DAP dan Parti Amanah Negara walaupun bercakap seolah-olah bermusuh dengan Pas tetapi sangat perlukan Pas,” katanya.

 

Sementara itu, beliau turut sependapat dengan pemimpin Pas yang lain bahawa hasrat PKR untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain Pas tidak boleh dihalang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.