Video: “Tun Mahathir Pujuk Masuk PPBM Saya Tak Mahu”

KOTA KINABALU – Seorang lelaki menyamai Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mengkritik PPBM sebagai versi lain Umno dalam satu klip video yang tersebar di negeri itu.

Menerusi klip itu, lelaki terbabit dilihat berbual dengan beberapa wanita yang dipercayai cuba mendapatkan pandangannya untuk menyertai PPBM.

“Ini Bersatu (PPBM) Umno…Jadi, kenapa kamu ikut Bersatu (PPBM)?” soalnya.

Seorang pembantu Shafie ketika dihubungi berkata, presiden Warisan itu tidak mahu mengulas mengenai video itu.

Dalam klip itu, lelaki terbabit memberitahu beberapa wanita berkenaan, tindakan menyertai PPBM bermakna mereka menyokong Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor.

“Siapa yang memerintah? Hajiji ataupun saya memerintah? Siapa yang hasut sama kau masuk Bersatu?” soalnya sambil berkata Warisan akan mempertahankan hak orang Sabah dan negeri itu di bawah persekutuan Malaysia.

Hajiji yang merupakan bekas ketua Umno Sabah mengetuai 14 wakil rakyat, 2 senator dan 21 ketua bahagian di negeri itu meninggalkan Umno pada Disember lalu.

Dalam video itu, lelaki berkenaan berkata, beliau akan menjadi timbalan presiden, jika menyertai PPBM.

“Saya dipujuk oleh Tun Mahathir pun saya tidak mahu. Jawatan tinggi lagi, (tetapi itu) bukan jawatan saya mahu pegang,” katanya merujuk Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PPBM.

PPBM Sabah dilancarkan 6 April lalu.

Langkah PPBM melebarkan sayap ke Sabah pada awalnya dibantah pemimpin Warisan, termasuk Shafie yang kemudiannya berkata, ia adalah hak PPBM untuk menubuhkan cawangan di negeri itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.