SPRM Tarik Balik Beku Akaun Selepas Arul Kanda Bawa Kes Ke Mahkamah

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, menarik semula permohonan yang dikemukakan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menyahbekukan dua akaun saham (CDS) miliknya.

Peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili Arul Kanda memaklumkan, pihaknya menarik balik permohonan itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyahbeku dua akaun tersebut semalam.

Sivananthan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, proses menyahbeku dua akaun saham milik anak guamnya dilakukan semalam.

Jelasnya, anak guamnya memfailkan permohonan itu pada 19 Ogos lalu.

“Kami menarik balik permohonan bagi mendapatkan perintah supaya SPRM selaku responden untuk menyahbeku akaun berkenaan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudiannya merekodkan perkara itu sebelum menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes itu.

Pada 12 Julai 2018, sembilan akaun milik Arul Kanda dibekukan pihak SPRM selepas beliau dikaitkan dengan penyelewangan wang 1MDB.

Sembilan akaun termasuk tujuh akaun persendirian dan dua akaun saham CDS.

Dalam pada itu, Sivananthan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, tujuh akaun persendirian milik anak guamnya sudah dinyahbeku lebih awal.

Tambahnya, permohonan menyahbekukan dua akaun CDS itu dibuat susulan sejak dibekukan, tiada sebarang tindakan undang-undang seperti pendakwaan diambil terhadap anak guamnya dalam tempoh 12 bulan.

Sementara itu dalam permohonannya, Arul Kanda mendakwa, tindakan SPRM membekukan akaun mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 adalah tidak sah.

Justeru, Arul Kanda menuntut akaun CDS individu dan perdagangan dengan saham masing-masing berjumlah 700,000 nexgram dan 18,000,500 nexgram dilepaskan segera.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.