Jangkaan 10,000 Sertai Himpunan Penyatuan Ummah 14 September Ini

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas menjangkakan Himpunan Penyatuan Ummah akan dihadiri 10,000 ahli dan penyokong parti sempena majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September depan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, muafakat itu akan menjadi alternatif baharu kepada rakyat untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Menurutnya, perhimpunan itu nanti turut disertai parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC serta rakan gabungan Pas dalam Gagasan Sejahtera.

“Tak kurang 10,000 dijangka hadir membabitkan pemimpin parti, ahli serta penyokong kedua-dua parti dan juga parti sahabat.

“Apa yang kita UMNO, Pas lakukan ini bersifat dinamik menjurus ke arah PRU15,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Piagam Muafakat Nasional akan ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mungkin peristiwa penyatuan kerjasama politik ini bakal menggusarkan Pakatan Harapan (PH), kami tidak kisah. Kerjasama ini menjurus kepada persiapan PRU15.

“Kerjasama UMNO dan Pas ini tidak seharusnya menjadi kekhuatiran kepada masyarakat bukan Islam di negara ini kerana ajaran Islam sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan masa depan semua kaum,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.