Jangan Hentam PH & DAP, Tak Perlu Polemik Isu Zakir Naik – Zaid Ibrahim

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata umat Islam di negara ini wajar memberi keutamaan kepada bidang sains berbanding berpolemik mengenai isu di sekitar Dr Zakir Naik.

Zaid berkata ketika sesetengah pihak memuji kehebatan Zakir kerana kemampuannya dalam bidang perbandingan agama, beliau yang memang terkenal dengan kelantangannya mempersoalkan sama ada Malaysia memang memerlukan polemik sebegitu.

“Umat Islam akan menjadi lebih baik dengan memahami sains, jadi mereka boleh menunjukkan keprihatinan terhadap (isu) alam sekitar yang beracun, (isu) Lynas, kematian ikan dan kematian Orang Asli,” ciapnya di Twitternya, hari ini.

Zaid turut bersetuju bahawa pemimpin politik Melayu dari kedua-dua pihak untuk bersatu bagi merawat penyakit terbesar yang menimpa umat Islam.

“Pemimpin Melayu dari kedua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) perlu bersatu bagi menghadapi cabaran terbesar umat Islam: atrofi minda.

“Muscle atrophy akan melemahkan kita, atrifi minda akan menjadikan kita hamba. Beri perhatian kepada perkara ini,” katanya.

Menurut Zaid, umat Islam perlu disepadukan melalui pendidikan yang lebih baik, cenderung kepada sains, kecemerlangan, antirasuah, isu Lynas dan lain-lain lagi.

“Jangan menghentam PH, DAP, liberal. Ia hanya membuang masa,” kata Zaid.

Zaid Ibrahim ketika majlis pengumuman penyertaannya dalam DAP pada 7 Februari 2017. Sebelum itu beliau pernah menubuhkan parti KITA selepas keluar dari PKR.

Semalam, Zakir dipanggil sekali lagi ke Bukit Aman bagi diambil keterangannya berhubung ucapan didakwa berbaur perkauman dalam satu program di Kelantan, baru-baru ini.

Zakir mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad lalu juga turut menyifatkan kenyataan Zakir sebagai melanggar peraturan apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Zakir kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan selepas 115 aduan awam dibuat terhadapnya.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.