Mangsa Kebakaran Rayu Kerajaan Bantu Sediakan Rumah PPR

KUALA LUMPUR – Tiga daripada 24 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pandan Jaya masih belum menerima bantuan tempat tinggal oleh kerajaan sejak berlakunya kebakaran 3 bulan yang lalu.

Mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di Dewan Pandan Baiduri, Alagumathy Suppiah, 36, berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail datang melawat mereka sekali sahaja selepas kebakaran dan memberi bantuan sebanyak RM100.

“Kami mahu kerajaan baru bantu kami, walaupun kami tinggal di sempadan Kuala Lumpur dan Selangor, berbincanglah untuk membantu kami sekeluarga untuk mendapatkan tempat tinggal secepat mungkin yang telah dijanjikan.

“Sepatutnya isu ini sangat kecil, kerana kami hanya 3 keluarga yang masih tidak dapat tempat tinggal kerana keadaan di sini amat tidak selesa.

“Jika kami tanya, di mana rumah kami? kerajaan mengatakan rumah kami sedang dalam pencarian walaupun sudah 3 bulan kebakaran berlaku,” katanya kepada FMT.

Tempat tinggal 3 keluarga ini di Dewan Pandan Baiduri selepas kediaman mereka musnah dijilat api.

Katanya, kerajaan berjanji untuk memberi bantuan rumah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Concrane.

“Di sini, tiada air yang bersih untuk kami minum. Kami tidak boleh memasak dan terpaksa berkongsi 1 bungkus nasi untuk 8 ahli keluarga kami,” katanya.

Kebakaran pada penghujung Mei lalu menyebabkan 24 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Wan Azizah yang juga ahli parlimen Pandan ketika melawat mangsa berkata bantuan segera untuk keluarga terbabit adalah khemah khas dilengkapi tilam, bantal, tikar, makanan dan kelengkapan diri ketika mereka tinggal di dewan berkenaan.

Beliau turut mengarahkan agensi kerajaan yang terbabit menguruskan semua keperluan mangsa berkenaan.

Alagumathy juga berkata kerajaan tidak membantu mereka dari segi kewangan, selain anaknya sudah 2 bulan tidak bersekolah kerana jarak sekolah dengan dewan itu agak jauh.

“Bayaran bulanan untuk pengangkutan anak saya ke sekolah adalah sangat mahal untuk orang seperti saya, jadi mereka tidak dapat ke sekolah.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.