Bubar Majlis Penasihat Kerajaan, Biar Kabinet Berfungsi Sewajarnya

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) perlu dibubar bagi memastikan Kabinet dapat berfungsi dengan sewajarnya, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Annuar, CEP ditubuhkan untuk menasihati kerajaan sebelum Kabinet dibentuk dan sebelum sidang pertama Dewan Rakyat serta Dewan Negara bermula.

“Sekarang segala-galanya sudah terbentuk dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai anggota Kabinet yang cukup hebat, terdiri daripada pemimpin terkanan lima parti.

“Atas dasar prinsip tanggungjawab bersama Kabinet, kita berasa ia tidak wajar lagi untuk CEP wujud dan Kabinet perlulah berfungsi sewajarnya,” kata Annuar dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Annuar, CEP tidak mempunyai legitimasi undang-undang atau perlembangan maka kewujudannya secara berterusan boleh mengugat sistem demokrasi berparlimen.

“Bukan sahaja CEP tidak ada legitimasi undang-undang atau perlembangaan tetapi ia juga tidak merupakan sebahagian daripada tiga cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.”

Tambah beliau lagi, CEP perlu dibubarkan kerana ia turut mencabar kewibawaan ahli Kabinet.

“CEP mencabar kewibawaan ahli Kabinet, bukan sahaja seolah-olah Kabinet tidak diyakini tetapi juga dilihat tidak konsisten.

“Ada menteri Kabinet sebelum ini menuduh beberapa anggota CEP dengan pelbagai tuduhan berat, termasuk penyelewengan, tapi kini dilihat bukan saja tidak bertindak, sebaliknya tunduk kepada CEP.

“Semua ini boleh membawa kepada soal integriti. Apatah lagi formulanya yang diperakukan gagal, sedangkan CEP tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada Perdana Menteri seorang,” katanya.

Annuar berkata, meskipun ada yang berpendapat tugas anggota CEP adalah sukarela tanpa kos kepada kerajaan, itu bukan soalnya kerana ia tertumpu kepada aspek kewajaran dan kuasa.

“Apa lagi hampir semua anggota terbabit mempunyai kepentingan besar terhadap kerajaan, sekali gus mewujudkan konflik kepentingan,” katanya.

Selain itu, Annuar turut mencadang laporan CEP didedahkan kepada awam dan dikemukakan pada persidangan Parlimen akan datang bagi menjamin ketelusan serta mengelak sebarangan pertuduhan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.