PAS Nafi Guna Tragedi Memali Untuk Tarik Undi

KOTA BHARU – PAS menafikan dakwaan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mendakwa parti itu akan menjadikan peristiwa Memali sebagai satu usaha untuk memancing undi orang Melayu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata peristiwa Memali merupakan satu perkara yang perlu dibincangkan oleh semua pihak dan PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan politik dalam hal tersebut.

“Ini bukan soal menarik undi kerana isu ini memang sejak dahulu diperjuangkan oleh PAS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) ke-19 di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata PAS sengaja menimbulkan kembali peristiwa Memali semata-mata untuk memancing undi orang Melayu menjelang PRU14.

Pada 16 Ogos, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa kerajaan agar mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat kembali peristiwa Memali yang berlaku pada 19 Nov 1985 itu.

Peristiwa Memali yang menyaksikan 18 orang terbunuh kembali hangat susulan kekecohan yang berlaku semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor berikutan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.