Bukan Arahan Saya – Hael Husaini

ENTAH apa masalahnya, bekas anggota duo Azhael, Hael Husaini kerap kali meminta ramai banyak pihak untuk tidak menggandingkan dia dengan bekas rakan seperjuangannya Azhar untuk sebarang tujuan publisiti.

Kononnya, alasan yang digunakan oleh pelantun lagu Jampi ni kerana dia tidak mahu lagi peminat terkeliru dan menganggap dia dan Azhar masih bersama menerajui duo Azhael.

 

Kalau sekali dua tak apalah, mungkin orang boleh terima. Tetapi yang tak menariknya, dengar cerita ramai dah mula naik muak dengan dia yang balik-balik memberikan alasan yang sama saja.

Ramai yang menyifatkan isu tiada lagi Azhael sudah pun berlalu dan peminat juga sudah boleh menerima keadaan itu.

Jadi, apabila Hael lakukan begini, suka atau tidak penyanyi ini terpaksa berdepan pula dengan situasi bila ramai menganggap masalah bukan datangnya daripada Azhar, tetapi dia sendiri yang terlebih-lebih paranoid.

Tak cuma itu, ia juga seakan-akan menguatkan lagi persepsi bahawa memang betul Hael bersengketa dengan sahabatnya itu selama ini.

Berikut ialah komen penyanyi ini mengenai isu.

Tak seronoklah bila dengar Hael buat perangai tak mahu bergambar dan tak nak bergandingan dengan Azhar, ramai yang merungut, apa ceritanya ni?

Apa yang saya boleh katakan, itu semua datangnya daripada pihak pengurusan. Keputusan yang dibuat bukanlah daripada saya dan apabila bercakap mengenai pengurusan, sudah tentulah saya kena mematuhi apa yang ditentukan. Mungkin pihak pengurusan ada alasan sendiri mengenai hal ini dan antaranya memang tak mahu orang terkeliru dan anggap Azhael masih ada.

Bila jadi begitu, tidakkah awak rasa yang ia menguatkan persepsi ramai bahawa sememangnya wujud perbalahan selama ini sehingga kemudiannya Azhael dibubarkan?

Kami tak berbalah pun. Entahlah sebenarnya saya tak tahu nak komen apa sebab tahu, orang di luar tentunya tak tahu situasi sebenar. Buat masa sekarang, Azhar ada misi sendiri dan begitu juga dengan saya. Tiada kena-mengena dengan soal kami berbalah atau apa. Kadangkala saya sendiri tergelak bila fikir apa yang terjadi (isu gaduh) ni kerana kami berdua sama ada di luar dunia glamor sekali pun, memang okey sahaja.

Isu ini memberi interpretasi buruk pada diri Hael kerana orang anggap awak yang bermasalah dengan Azhar. Boleh komen?

Macam ni lah, kita nak tutup mulut orang memang tak boleh. Sebab itulah kami lebih selesa profesional dalam hal ini dengan harapan tak adalah isu saya nak tumpang Azhar atau begitu juga sebaliknya. Biar orang tahu kami dah tak bersama dari soal persembahan atau apa. Namun itu bukan bermaksud kami bergaduh. Kalau masih ingat, saya dan dia sebelum bergabung dalam duo Azhael menerusi platform Akademi Fantasia 2013, memang terlebih dahulu bergerak solo. Bersama Azhael, kami raih pengalaman bersama dan kesemua itu kami gunakan untuk membina tapak yang berbeza sekarang bila dah keluar daripada duo itu. Kiranya memudahkan karier solo kami lah.

Bila jadi begini, ia juga memberi persepsi bahawa ada pihak sedang cuba melaga-lagakan Hael dan Azhar. Tak akan nak biarkan kot?

Rasanya tak perlu saya jelaskan panjang-panjang kerana cakap apa pun akan jadi tak kena dan saya tak nak buat ramai orang salah faham. Beginilah, saya rasa apa yang dilakukan pihak pengurusan adalah demi kebaikan juga untuk pihak di sebelah sana. Mereka tentunya ada agenda tersendiri dan saya yang berada di bawah pihak pengurusan, kenalah menghormati keputusan mereka. Dia pun ada pengurusan sendiri dan saya pasti dia juga tahu apa yang perlu dilakukan.

Jadi, adakah keputusan keluar daripada Azhael merupakan satu keputusan terbaik memandangkan Hael juga tampil cemerlang dengan single Jampi sekarang?

Ia satu pertimbangan yang wajar untuk kedua-dua belah pihak. Buat masa sekarang mungkin orang tengok rezeki menyebelahi saya dan mungkin lepas ini dia pula. Kita sentiasa doakan yang baik-baik dan tak pernah pun sampai nak bergaduh. Saya dan dia masih saling bertanya khabar dan baru-baru ini, ada juga saya menghubungi Azhar untuk mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya dalam rangka perancangannya menyertai sebuah program realiti di Astro. Tak semestinya tak bergambar dan tak buat persembahan bersama itu bermakna kami bermasalah. Sudah-sudahlah tu kata kami bergaduh…-UtusanOnline

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.