Jemaah Dinasihat Tumpu Ibadah, RM Tak Diterima Di Arab Saudi Hanya Khabar Angin

MAKKAH – Jemaah haji dinasihatkan agar menumpu kepada ibadah semasa berada di tanah suci dan tidak memempercayai khabar-khabar angin yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan jemaah dan keluarga di tanah air.

 

 

Ketua rombongan haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sebaliknya jika terdapat sebarang keraguan atau untuk memastikan sesuatu perkara itu benar atau tidak, jemaah dinasihatkan agar mendapat pengesahan daripada Lembaga Tabung Haji (TH).

 

 

“Janganlah mempercayai sebarang khabar angin yang tidak berasas kerana kami khuatir ia boleh menimbulkan suasana tidak baik kalangan jemaah sebaliknya berhubunglah dengan Tabung Haji untuk mendapat pengesahan.

 

 

“Tabung Haji sentiasa memantau perkembangan semasa melalui laman-laman sosial agar ia tidak mengganggu perasaan jemaah yang sedang menumpukan ibadah,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Jeddah dan terus ke maktab penginapan di sini semalam.

 

 

Seramai 473 jemaah haji bersama 16 petugas TH tiba dengan penerbangan KT26 yang tidak ke Madinah sebaliknya terus ke sini yang menjadikan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang berada di tanah suci seramai 11,934 orang.

 

 

Dua hari lalu, sebuah portal berita pro pembangkang melaporkan kononnya Ringgit Malaysia tidak diterima di Arab Saudi berikutan kejatuhan nilai Ringgit, namun perkara itu dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

 

Sebaliknya Jamil Khir berkata, jemaah Malaysia tidak berdepan sama sekali mengenai masalah tukaran wang itu malah TH sendiri menyediakan kaunter pengeluaran bagi memudahkan jemaah mengeluar wang mengikut tukaran wang Saudi Riyal. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.