Wanita Berpisau Rompak Dua Lelaki

Georgetown – Dua pekerja lelaki di sebuah kedai serbaneka tergamam apabila diacukan pisau oleh seorang penyamun dalam kejadian samun awal pagi tadi.

 

Lebih mengejutkan, penyamun berkenaan adalah seorang wanita yang memakai topi keledar dan berpura-pura mahu membeli rokok.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 pagi itu, wanita berkenaan secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau sebelum mengarahkan dua pekerja berkenaan untuk menyerahkan wang kepadanya.

 

Bimbang dengan keselamatan diri, salah seorang daripada pekerja berkenaan kemudiannya mengambil wang daripada mesin wang kira-kira RM155 dan menyerahkan kepada wanita berkenaan yang kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal yang sedia menunggu di luar kedai terbabit.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid Alathrash Wahid mengesahkan kejadian dan berkata kes itu sedang disiasat dan suspek sedang diburu.

 

“Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata,” katanya ketika dihubungi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.