Video: Agensi Baharu Urus Isu Pemaju, Perumahan Awam – Rahman Dahlan

Petaling Jaya – Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah agensi khas bagi memantau pembinaan rumah mampu milik dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

 

“Melalui agensi ini, kami mahu menstandardkan antara peranan kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam isu perumahan.

 

“Dalam agensi itu akan dipantau oleh saya, Ketua Setiausaha Kementerian serta Lembaga Pengarah akan terdiri daripada pakar dari agensi perumahan, hartanah dan pembinaan dari sektor awam dan swasta,” katanya.

 

 

“Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Perumahan Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, petang ini untuk dibincangkan secara lanjut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘The 18th National Housing and Property Summit 2015’ di sini, hari ini.

 

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Abdul Rahman berkata 2015 merupakan tahun yang mencabar bagi pemaju perumahan kerana banyak pemain industri menghadapi kelembapan jualan.

 

“Membina rumah pada waktu yang mencabar ini bukan sesuatu yang mudah.

 

Permintaan terhadap hartanah kediaman di Malaysia dijangka perlahan pada 2015 sebagaimana yang diramalkan Moody dalam laporan baru-baru ini yang diterbitkan dalam ‘Inside Asean’.

 

“Namun, agensi berkenaan berpendapat bahawa risiko hartanah Malaysia kekal mudah dikendalikan oleh pembiaya dan pemaju, yang dijangka kekal berdaya saing dengan kemungkinan perubahan sentimen dan harga hartanah,” katanya.

 

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, kerajaan dan sektor swasta boleh dan akan bekerjasama secara rapat untuk menghadapi waktu-waktu sukar dalam industri perumahan dan hartanah.

 

“Kami akan terus menjadi responsif kepada sektor swasta dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang positif, agar ia akan menggalakkan perniagaan yang lebih luas dan keyakinan pelabur terhadap industri ini,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.