Terima Kasih Rakan Yang Telah Keluar PAS – Nik Abduh

Kuala Lumpur – Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz berkata langkah ahli PAS yang bertindak meletakkan jawatan dan keluar dari parti berkenaan disifatkan sebagai melepaskan beban yang sudah lama dipikul oleh parti.

 

Tindakan keluar parti katanya membolehkan ahli yang tidak setia kepada parti untuk bergerak bebas kerana sudah hilang kepercayaan kepada PAS.

 

“Bagi rakan-rakan yang telah keluar PAS, mereka semestinya boleh bergerak lebih bebas tanpa terbeban dengan tanggungjawab, yang mereka telah tidak lagi berminat dengannya. Melepaskan beban yang tak perlu adalah nikmat bagi setiap kita”, katanya dalam satu kenyataan.

 

PAS katanya tidak akan menerima kembali mereka yang meninggalkan parti berkenaan semata-mata untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

“Yang dah berpatah arang dan mula menghentam PAS dengan pelbagai jenis hentaman, tiada lagi premis untuk mereka kekal dalam PAS. Mereka sayugia keluar.”

 

Malah beliau turut menasihatkan sesetengah ahli yang ragu-ragu untuk keluar daripada PAS, supaya memilih untuk meninggalkan parti itu.

 

“Dalam maklumat yang saya perolehi secara rasmi, masih ada yang belum isytihar. Untuk memudahkan, saya berharap mereka memilih jalan yang sama. Ia membantu kedua-dua pihak yang bertelagah.”

 

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka dalam parti yang berani menyatakan pendirian masing-masing yang disifatkan beliau sebagai jalan mudah kepada parti.

 

“Saya doakan PAS akan kembali teguh berperanan di dalam masyarakat seperti asalnya”, katanya.

 

“Bagi ahli PAS, sebab utama perpecahan dalam Pakatan Rakyat akibat sikap keras DAP terhadap matlamat perjuangan PAS.”

 

Rabu lalu, beberapa ahli dan kepimpinan PAS peringkat cawangan, bahagian dan pusat bertindak meletakkan jawatan beramai-ramai antaranya PAS Kota Raja, Shah Alam, Kapar dan Klang yang melibatkan lebih 450 ahli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.