Tentera Korea Selatan, Korea Utara Berbalas Tembakan

SEOUL – Korea Selatan telah mengarahkan pemindahan penduduk dari kawasan sempadan barat selepas berbalas tembakan dengan Korea Utara.

 

Korea Utara melepaskan tembakan ke arah unit tentera Korea Selatan pada Khamis, menyebabkan Korea Selatan bertindak balas dengan beberapa tembakan meriam, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

 

Berikutan kejadian serangan tersebut, Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan dengan segera mengadakan sesi tergempar.

 

Sempadan laut barat telah lama menjadi zon sengketa antara kedua-dua negara Korea tersebut.

 

Korea Utara melepaskan berpuluh-puluh peluru bersaiz 155mm ke arah Yeoncheon, barat laut bandar Seoul, pada 15:52 waktu tempatan (06:52 GMT), kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan yang dilaporkan BBC.

 

Tiada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kerosakan dari kedua belah pihak.

 

Kedua-dua negara Korea secara teknikalnya masih berada dalam situasi perang kerana peperangan 1950-1953 tamat disebabkan perjanjian gencatan senjata dan bukannya kerana perjanjian damai.

 

Kedua-dua pihak telah berbalas-balas serangan merentasi sempadan beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Seorang pegawai tempatan memberitahu agensi berita AP bahawa kira-kira 80 penduduk di Yeoncheon telah dipindahkan, dengan penduduk lain di kawasan itu juga digesa mendapatkan perlindungan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.