Statistik Keluar PAS Kecil – Nasruddin

Shah Alam – Pimpinan PAS yakin dengan bidalan “patah tumbuh hilang berganti” dan peletakan jawatan beberapa kerat pimpinan parti di peringkat Kawasan dan Cawangan akan segera diganti.

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, keyakinan ini bersandarkan kedudukan keahlian PAS yang kini semakin meningkat meskipun ada usaha cuba menarik ahli PAS keluar parti.

 

“Setakat ini hanya tiga atau empat cawangan atau kawasan (yang letak jawatan) tapi selepas Muktamar sehingga hari ini, PAS sudah meluluskan (permohonan) lebih 8,000 ahli baru,” katanya.

 

Ahli Parlimen Temerloh itu bagaimanapun mengakui bahawa PAS tidak memandang remeh isu penghijrahan keluar ahli-ahli PAS yang berlaku beberapa hari lalu.

 

Nasruddin berkata, PAS sebagai sebuah parti politik Islam masih mempunyai pelapis-pelapis baru dan muda yang beleh diketengahkan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas ahli.

 

“Masih ramai tenaga-tenaga baru yang akan memberi khidmat kepada parti”, katanya.

 

Nasruddin mengulas pandangan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali semalam yang berkata lebih ramai ADUN dan Ahli Parlimen parti berkenaan dijangka keluar parti dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, jumlah yang keluar itu adalah sedikit jika dibandingkan dengan permohonan untuk menyertai PAS sejak Muktamar ke 61 Jun lalu.

 

Beliau menegaskan bahawa isu keluar parti ini adalah perkara biasa tetapi ia tidak menjejaskan hala tuju sebenar parti Islam berkenaan.

 

“Kita dapat maklumat bahawa perkara ini tidak terlalu serius. Pada pandangan PAS, pemimpin pergi dan datang. (Jika) ada jawatan (sesuatu) cawangan dikosongkan, tidak sampai beberapa jam, jawatan itu diisi semula oleh orang baru. Kita dapat beroperasi seperti biasa.

 

“Pandangan bahawa ada cawangan dibubarkan (adalah) tidak betul. Yang boleh bubar hanya ROS (Pertubuhan Pendaftar).

 

“Itupun jika sekiranya berlaku pembatalan dan pelanggaran perlembangaan dan seumpamanya. Setakat mereka letak jawatan pada saya masih ramai lagi orang yang bersedia untuk berkhidmat untuk parti”, katanya.

 

Dianggarkan lebih 450 ahli PAS di Parlimen Kota Raja, Shah Alam, Kapar dan Klang bertindak keluar parti minggu ini kerana ingin menyertai GHB dalam usaha menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.