Selangor Kukuh Di Tangga Ketiga Selepas Benam TRW

PENGENDALI Selangor, Mehmet Durakovic menyifatkan tiga mata yang dikutip di Stadium Shah Alam, kelmarin cukup berharga bagi memastikan misi Red Giants untuk menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga berada di landasan yang betul.

 

Menurut Mehmet, tempat ketiga adalah kedudukan terbaik yang perlu dipertahankan Red Giants memandangkan peluang bergelar juara sudah pun terpadam.

 

“Sudah tentu kami akan cuba mempertahankan kedudukan ketiga dan mahu memenangi perlawanan terakhir menentang Perak.

 

“Harap kami dapat mengutip mata maksimum di tempat lawan nanti,” katanya.

 

Selangor semakin pasti menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga apabila menewaskan Kelantan 3-0, kelmarin.

 

Tiga mata yang diraih Merah Kuning itu mengukuhkan kedudukan mereka apabila kini mengumpul 36 mata, hanya berkelebihan satu mata ke atas pesaing rapat, Terengganu ketika saingan berbaki satu perlawanan.

 

Mengulas mengenai kemenangan ke atas skuad The Red Warriors, Mehmet memuji persembahan anak buahnya yang mempamerkan aksi fantastik di laman sendiri.

 

“Kami beraksi dengan baik, pemain kami terutama di jentera tengah dan serangan bekerja keras.

 

“Saya gembira dengan persembahan ini lebih-lebih lagi dihadapan penyokong sendiri,” katanya.

 

Pemain Selangor meraikan jaringan pertama perlawanan hasil sepakan percuma Hazwan Bakri. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.