Ribuan Ikan Mati Selepas Letupan Gudang

Tianjin – Ribuan ikan ditemui mati terdampar di kawasan perairan Bandar Tianjin, utara China, lapan hari selepas letupan di sebuah gudang yang mengorbankan sekurang-kurangnya 114 mangsa.

 

Ratusan lagi turut cedera dalam tragedi itu, sementara 69 orang masih hilang, kebanyakannya anggota bomba, ketika ramai yang bimbang bahan kimia berbahaya mungkin mencemari kawasan perairan.

 

Laporan Time yang memetik pihak berkuasa China sebagai berkata, tiada toksik sianida dikesan dalam kawasan perairan itu, meskipun pihak berkuasa China mengesahkan gudang terbabit menyimpan kira-kira 40 bahan kimia berbahaya, termasuk 700 tan sianida.

 

Pengarah Pusat Pemantauan Alam Sekitar Tianjin, Den Xiaowen berkata, kematian ikan dalam jumlah yang banyak bukanlah perkara luar biasa, khasnya pada musim panas.

 

“Apabila suhu meningkat, kekurangan oksigen boleh menyebabkan ikan mengalami hipoksia,” katanya.

 

Pihak berkuasa China yang dipetik Global Times semalam mengumumkan, lapan daripada 42 lokasi pemantauan kualiti air di sekitar zon letupan itu dikesan mengandungi tahap sianida berlebihan, dengan kadar toksik di sebuah daripada lokasi itu 356 kali lebih tinggi daripada tahap biasa.

 

Pasukan pembersihan telah menubuhkan zon kuarantin untuk menghentikan pencemaran sianida ke kawasan perairan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.