Persepsi Negatif Terhadap Ekonomi Negara Perlu Segera Diperbetulkan

KOTA BAHARU – Persepsi negatif terhadap ekonomi negara perlu segera diperbetulkan bagi menangkis kekeliruan yang wujud dalam kalangan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

 

Beliau berkata, kerajaan mengenal pasti bahawa kedudukan ekonomi hari ini bukan satu krisis tetapi satu keadaan yang berpunca daripada persepsi dan sentimen.

 

“Umpamanya persepsi bahawa ekonomi negara kita terlalu bergantung kepada minyak. Ini tidak betul kerana 77 peratus daripada eksport kita terdiri daripada barangan pembuatan. Pergantungan kita kepada minyak, kelapa sawit dan getah cuma 23 peratus,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

 

Mustapa berkata, keadaan ekonomi berkemungkinan juga ada kaitan dengan politik namun faktor itu dilihat bersifat sementara.

 

Katanya, ekonomi negara masih kukuh seperti yang diumumkannya dua hari lepas iaitu Malaysia mencatatkan pertumbuhan pelaburan baharu diluluskan sebanyak RM113.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan 81.1 peratus merupakan pelaburan domestik.

 

Dari segi pelaburan jangka panjang, beliau yakin ekonomi Malaysia akan terus berkembang. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.