Penubuhan DEIG Jadi Isu Panas Di Selangor

SHAH ALAM – Tindakan Kerajaan PKR Selangor menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) menjadikan isu paling panas di negeri itu berikutan syarikat bernilai RM2 tersebut didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

 

Sebuah portal be­­ri­­ta semalam mendedahkan rekod terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan kedua-dua saham bernilai RM1 DEIG itu didakwa dipegang oleh dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MBI Sela­ngor, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI Selangor, Soffan Affendi Aminuddin.

 

Menurut portal tersebut, pe­gangan saham itu dilihat bertentangan dengan struktur pegangan yang dipaparkan di laman web DEIG yang menunjukkan DEIG merupakan 100 peratus milik penuh MBI Se­langor.

 

Sebelum itu, ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, beberapa ADUN termasuk daripada DAP mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekaligus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.

 

Bagaimanapun ketika bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seolah-olah tidak menghiraukan keputusan DUN Selangor yang meluluskan usul agar kerajaan negeri meneliti semula penubuhan DEIG.

 

Sebaliknya, beliau tetap mempertahankan langkah mewujudkan syarikat tersebut dan tindakan menggunakan dua individu bagi mendaftarkan DEIG sebelum di­serahkan kepada MBI Selangor.

 

Sambil menyatakan proses tersebut sebagai amalan biasa dalam pembentukan syarikat, beliau menjelaskan, kedua-dua individu terbabit berperanan dalam saham promoter yang dibenarkan dalam undang-undang.

 

“Kedua-dua individu ini adalah pemegang saham untuk membuka syarikat (DEIG),” katanya.

 

Mohamed Azmin memberitahu, walaupun kedua-dua individu berkenaan terlibat pada peringkat awal penubuhan syarikat itu, namun kini MBI Selangor memiliki­nya dengan pegangan 100 peratus sejak Julai lalu.

 

“DEIG masih belum lagi beroperasi dan dijangka (berope­rasi) pada tahun depan. Ketika ini syarikat sedang menjalankan penelitian undang-undang untuk memperkemaskan soal tadbir urus selain menyediakan penyata kewangan kepada kerajaan ne­geri,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.