Pemuda PAS Hulu Langat Pula Umum Letak Jawatan

Kuala Lumpur – Selepas tiga kepimpinan PAS peringkat kawasan – Kota Raja, Kapar dan Klang – mengumumkan peletakan jawatan mereka kelmarin, hari ini giliran kepimpinan Pemuda PAS kawasan Hulu Langat pula mengambil tindakan serupa.

 

Seramai 10 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda kawasan berkenaan termasuk Ketua Pemudanya, Mohd Burhanuddin Othman mengumumkan peletakan jawatan mereka sebagai ‘penyelesaian terbaik terhadap konflik yang sedang berlaku ketika ini’.

 

Mohd Burhanuddin berkata kesemua mereka telah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Penolong Setiausaha PAS Hulu Langat.

 

Selain beliau, sembilan yang lain ialah setiausahanya, Ahmad Firdaus M Zabidi, Muhammad Safuan Harun (penolong setiausaha 1), Afrodi Ali (penolong setiausaha 3), Manzurul Safar (ketua penerangan), Hafiz Othoman (penolong bendahari) Dr Muhammad Omar (pengerusi lajnah kebajikan), Wan Saifullah Wan Abd Ghani (pengerusi lajnah pendidikan politik, Abdul Halim Abdullah (pengerusi lajnah IT) dan Hafeez Samsol.

 

“Kami juga mengharapkan agar hubungan sesama sahabat dalam PAS dapat dikekalkan walaupun masing-masing mempunyai perbezaan pandangan dan pendekatan,” kata Mohd Burhanuddin.

 

Rabu lalu, tokoh muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud bersama 182 ahli dan pimpinan PAS Kota Raja meletak semua jawatan dan keluar daripada parti itu untuk menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).

 

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga mengumumkan pembubaran sembilan cawangan PAS Parlimen berkenaan yang melibatkan lebih 30 orang pimpinan dan AJK kawasan serta cawangan.

 

Mengulas mengenai tindakannya, Siti Mariah menjelaskan keputusan itu juga dibuat bagi memudahkan AJK yang masih bersama PAS dapat menjalankan tugas di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.