Gadai Nyawa Bantu Cari Bukti, Serpihan Pesawat MH17

PUTRAJAYA – Menggadai nyawa dalam keadaan paling be­risiko di timur Ukraine merupakan amanah yang harus dipikul oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari baki serpihan dan bukti berkaitan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu.Mengenang Mh17 - Hussien Omar

 

Pasukan diketuai Komander Pa­sukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Asisten Komisioner Hussein Omar Khan yang buat pertama kalinya berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan tugas di wilayah itu memaklumkan, hanya satu tekad yang membantu beliau menyempurnakan tugas iaitu ke­adilan untuk MH17.

 

“Bila-bila masa sahaja peluru boleh sampai ke arah kami yang sedang bertugas di kawasan pencarian itu. Bayangkan kami berada di kawasan paling berkonflik di wilayah tersebut. Kami tidak tahu sama ada tempat itu selamat atau tidak tetapi tugas tetap tugas.

 

“Meskipun pihak berkuasa tempatan memberi jaminan bahawa gencatan senjata telah dipersetujui tetapi kami masih mendengar bunyi tembakan, bila-bila masa sahaja mereka boleh menghala tembakan tepat ke arah kami se­perti yang berlaku ke atas MH17,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan hasil la­poran pencarian MH17 pada Persidang­an Forensik Alam Sekitar Antarabangsa anjuran Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

 

Hussein berkata, dalam misi terakhir pencarian serpihan bangkai pesawat di tapak nahas itu, pasukan Australia menarik diri berikutan risiko yang tinggi dan kebimbangan terhadap perangkap bom daripada pihak-pihak tertentu dan akhirnya hanya pasukan Malaysia serta Belanda meneruskan tugas khas itu.

 

Cuaca sejuk satu darjah celsius dan salji yang turun tiba-tiba di rantau berkenaan turut menjadi cabaran utama untuk pasukan negara menjalankan kerja-kerja pencarian ekoran tidak mempunyai pengalaman seumpama itu bahkan tiada dalam sesi latihan pasukan selama ini.

 

“Saya masih ingat, pasukan penyiasat Belanda memberi kami masa untuk berehat di dalam kenderaan ekoran cuaca yang terlalu sejuk. Kami bersyukur mereka yang biasa dengan cuaca sejuk amat memahami keadaan kami,” katanya.

 

Dalam sesi pembentangan itu, Hussein turut berkongsi pengalaman paling sukar dalam proses mencari dua mayat terakhir mangsa tragedi nahas pesawat April lalu. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.