Filem Kapsul: Kerana Tun Mahathir, Faizal Hussein Terpaksa Diam

Kuala Lumpur – Pelakon Faizal Hussein terpaksa mengelak daripada ditemuramah media berkenaan video lakonannya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam filem Kapsul adalah disebabkan perjanjian dengan beberapa pihak.

 

Menurut pelakon berusia 47 tahun ini, dia telah diminta oleh pihak produksi agar tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan babak tersebut kepada media sebulan sebelum tarikh tayangan.

 

“Ramai wartawan telefon dan cari saya untuk beri komen tentang babak itu, namun saya tidak menjawab panggilan kerana kalau saya jawab sekali pun saya tidak boleh beri kenyataan tentang apa yang mereka mahu.

 

“Bukan media tempatan sahaja, malah dari Indonesia, Jepun dan beberapa negara lagi. Pihak produksi dan badan yang bertanggungjawab membawa Tun tidak benarkan saya keluar kenyataan sebelum 17 Ogos,” ujarnya.

 

Video trailer filem Kapsul yang berdurasi 30 saat, menjadi viral apabila kali pertama penampilan Tun Mahathir sebagai salah seorang pelakon filem itu.

 

Faizal juga menyifatkan peluang berlakon bersama Tun Mahathir bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan biarpun hanya beberapa minit sahaja babak itu, namun ia sangat bermakna.

 

Kapsul merupakan hasil intepretasi pengarahnya iaitu Allahyarham Martis Mohd Ali berkenaan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tentang amanat Tun Dr Mahathir menjelang tahun 2020.

 

Filem ini dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi itu bakal menemui penonton seluruh negara mulai 17 September ini. – Mstar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.