Dr Mahathir Mahu Pembangkang Singkir Najib Tapi Kekalkan BN

Pembangkang perlu mencari jalan bagi menyingkir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi pada masa sama mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Bekas perdana menteri itu yakin ada di antara ahli Parlimen tidak percaya penjelasan tentang wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib namun mereka tidak akan menyokong undi tak percaya jika ia menyebabkan kerajaan BN tumbang.

 

“Ia bukan sesuatu yang akan dilakukan ahli Parlimen BN. Mereka tidak mahu memainkan peranan dalam menumbangkan kerajaan BN.

 

“Jika pembangkang bersungguh mahu menyingkirkan Najib, mereka hanya dapat berbuat demikian jika Najib ditolak tetapi kerajaan BN kekal, dipimpin pemimpin lain,” tulis Dr Mahathir dalam artikel di blognya bertajuk “Upside Down Law”.

 

Menurut Dr Mahathir, pembangkang tentu sahaja mahu Najib kekal bagi memastikan mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

 

Namun, kemungkinan taktik mengumpan wang dan manipulasi undang-undang digunakan seorang perdana menteri sangat tidak menarik buat pembangkang, katanya.

 

Maka katanya, khabar angin undi tidak percaya terhadap Najib mungkin akan menjadi kenyataan.

 

“Berdasarkan laporan dan ulasan dalam media alternatif dan pembangkang, sebahagian besar rakyat Malaysia benar-benar cuak dan marah dengan salah guna kuasa Najib.

 

“Beliau pastinya tidak akan berhenti setakat menipu dalam pilihan raya bagi memastikan kemenangan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.