Air Percuma Gagal Didik Rakyat Jimat

SHAH ALAM – Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur Dan Putrajaya (Swan) menyokong penuh keputusan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk mengkaji semula dasar pemberian air percuma di negeri ini yang disifatkannya gagal mendidik rakyat berjimat.

 

Presidennya, Muhammad Tariq Loong Abdullah berkata, skim yang diwujudkan untuk mengurangkan beban golongan miskin itu turut dinikmati golongan kaya malah beliau menganggap dasar itu tidak bermanfaat.

 

“Swan menjangkakan pengguna akan mendapat manfaat daripada usaha tersebut. Swan berpendapat menteri besar telah membuat keputusan yang tepat untuk mengkaji semula program pemberian 20 meter padu air percuma di Selangor kerana dasar sedia ada ini dianggap tidak bermanfaat, bukan sahaja untuk pembangunan industri air tetapi juga kepada alam sekitar.

 

“Program ini bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat golongan miskin, tetapi dalam hal ini yang kaya turut sama menikmati skim tersebut. Oleh itu, ramai pengguna yang tidak menggunakan dengan sebaik-baiknya subsidi yang diberikan. Amalan ini gagal mendidik pengguna berjimat cermat dengan air terawat yang dibekalkan ini.

 

“Sebaliknya, mereka menyalahgunakannya dengan menggunakan air secara mewah dan berlebih-lebihan melalui aktiviti-aktiviti kurang meruncing seperti menyiram pokok bunga, membasuh kereta, mengisi kolam renang dan pelbagai aktiviti tidak penting lain,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Azmin pada persidangan Dun Selangor Isnin lalu berkata, kerajaan negeri akan meneliti program pemberian air percuma itu berikutan terdapat segelintir pihak dilihat menyalahgunakan kemudahan tersebut.

 

Menurut Muhammad Tariq, sikap tidak bertanggungjawab pengguna di negeri ini telah menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM120 juta setahun sejak 2008.

 

“Sekiranya ini tidak berlaku, sekurang-kurangnya wang berkenaan itu boleh digunakan untuk meningkatkan keperluan lain terutamanya bagi rakyat yang lebih memerlukan,” katanya.

 

Sehubungan itu, Swan mencadangkan penggunaan mekanisme yang sesuai iaitu bil air berjalur dalam rangka meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan yang banyak diamalkan di negara lain.

 

“Pemberian kuota air percuma bukan sahaja dapat membantu golongan kurang berkemampuan tetapi dapat menjimatkan penggunaan air mereka.

 

“Mereka yang menggunakan air di dalam lingkungan tarif jalur 1 (1st tier) untuk penggunaan air sehingga 20 meter padu tidak perlu dikenakan apa-apa bayaran manakala mereka yang menggunakan air melebihi jalur 1 perlu membayar mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.