Tahniah Halim ‘Toogoo’ – PM

Kuala Lumpur – Datuk Seri Naib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada juruterbang tunggal negara, Datuk Halim Othman atas kejayaan merangkul gelaran sulung Piala Cabaran pada Kejohanan Dunia Perlumbaan Udara Redbull 2014 di Ascot, Britain, Ahad lepas.

“Syabas Halim Othman kerana memenangi Piala Cabaran pada Kejohanan Dunia Perlumbaan Udara Redbull 2014 baru-baru ini. Teladan yang baik untuk juruterbang (Tentera Udara Diraja Malaysia-TUDM) yang lain,” kata perdana menteri dalam kiriman terbaru di akaun Twitternya hari ini.

Halim, bekas juruterbang TUDM berusia 48 tahun itu, menjuarai pusingan kelima perlumbaan Piala Cabaran di Ascot selepas menduduki tempat terakhir daripada enam peserta pada penampilan sulung pada pusingan ketiga di Putrajaya, Mei lepas.

Kejayaan itu membolehkan Halim, yang juga dikenali sebagai ‘Toogoo’, mengumpul 10 mata dan menduduki ranking keenam keseluruhan, iaitu ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu musim, Francois Le Vot dari Perancis.

Piala Cabaran diadakan untuk memberi juruterbang pengalaman penuh perlumbaan dengan matlamat utama mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman bagi memperoleh ‘Lesen Super Tanpa Had’ iaitu tiket ke kelas Masters.

Kelas Masters merupakan perlumbaan elit kejohanan dunia itu yang merangkumi lapan pusingan.

Pusingan keenam akan diadakan di Forth Worth, Texas, Amerika Syarikat, pada 6 dan 7 September ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.