Pelakon Dirasuk

Terkenal dengan filem yang mengangkat genre seram, pengarah muda ini mengakui filem terbarunya, Jin memberi pengalaman paling mencabar sepanjang dia terlibat dengan pembikinan filem berunsurkan mistik.

Menurut Pierre Andre, meskipun Jin mengambil masa hanya sepuluh hari namun kesannya kepada produksi dan pelakon adalah sesuatu yang luar biasa.

“Dalam filem ini ada watak Tok Wan yang mana ada satu babak menunjukkan dia dirasuk di akhir cerita. Bagaimanapun, ketika penggambaran dijalankan, dia sebenarnya betul-betul dirasuk.

“Masa tu memang agak gempar kerana ustaz yang memainkan watak untuk memulihkan Tok Wan tidak tahu dia benar-benar dirasuk. Sehinggakan teraju utama filem ini, Zul Ariffin dan Mon Ryanti terkejut bagaimana dia boleh melakonkan watak tersebut seperti realiti,” katanya di majlis tayangan istimewa filem Jin bertempat di GSC Pavillion malam kelmarin.
Akui pengarah filem Al-Hijab ini, tidak terhenti di situ, pelbagai perkara lagi dialami mereka sepanjang penggambaran filem itu.

“Macam-macam kejadian misteri berlaku, sehinggakan ada adegan yang benar-benar berlaku terpaksa saya potong untuk filem ini.

“Kerana itu, saya nekad habiskan penggambaran tersebut dengan cepat supaya tiada perkara lebih buruk berlaku,” katanya filem ini menampilkan sisi berbeza filem seram yang pernah dihasilkan.

Pada masa sama, Pierre turut merasa perubahan pada dirinya sewaktu berada di sana.

Jelasnya, ada satu masa, dia dapat merasa bulu romanya tegak dan hampir pitam di lokasi penggambaran.

“Saya rasa tak sedap hati, bimbang dengan keadaan tersebut saya memanggil pembantu saya dan memberitahu mengenai perkara itu,” ujarnya penggambaran filem itu dijalankan di sebuah banglo di Kuang, Selangor.

Selain Pierre, Zul dan Mon turut mengakui cemas sepanjang menjalankan penggambaran filem itu.
Tampil kelainan

Sedikit mengenai filem Jin, bicara Pierre, ia sebuah filem yang menampilkan kelainan yang mana watak Jin tidak diwujudkan daripada awal berbeza dengan mana-mana filem seram yang pernah diterbitkan.

“Saya tidak mahu watak Jin ini terlalu banyak ditonjolkan, cukup hanya pada satu-satu masa untuk memberitahu kepada penonton bahawa ia wujud sahaja.

“Filem ini juga merupakan mesej yang mana selama ini kita terlalu memberi perhatian kepada ‘hantu’ sedangkan semua itu adalah perbuatan Jin yang mahu mengganggu ketenteraman manusia,” katanya filem ini menelan belanja hampir RM1juta.

Filem yang turut dibintangi Harun Salim Bachik, Zaryn Min dan Imam Muda Naufal ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini.

Ia berkisarkan kisah suami isteri, Syafiq dan Lily yang berpindah ke rumah baru tanpa mengetahui sejarah rumah yang didiami mereka itu sehinggalah pelbagai peristiwa menyeramkan berlaku kepada mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.