Kuch Kuch Hota Hai Tinggalkan kesan Mendalam Buat Kajol

Kuala Lumpur –  Aktres terkenal Bollywood, Kajol mengakui filem lakonannya bersama Shah Rukh Khan iaitu Kuch Kuch Hota Hai (KKHH) pada 1998 adalah memori terbaiknya sepanjang bergelar pelakon.

Kajol, 40, berkata, sehingga ke hari ini filem berkenaan bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepadanya tetapi juga peminat KKHH yang masih meminati karya tersebut sehingga ke hari ini.

“Kuch Kuch Hota Hai adalah sebahagian daripada hidup saya dan ia bukan sekadar filem tetapi adalah memori terbaik dalam hidup saya.

“Sehingga ke hari ini perasaan seronok berada di set penggambaran bersama pelakon-pelakon lain dapat dirasai dan amat bersyukur ia masih kekal dihati peminat,” katanya.

Kajol berkata demikian ketika sesi temubual bersama pelakon Lisa Surihani sempena pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD 251 di Hotel JW Marriot di sini pada malam Rabu.

Tambah Kajol, dia tidak dapat membayangkan pelakon wanita lain melakonkan watak Anjali dalam KKHH selain daripada dirinya kerana peranan itu dekat dihatinya.

Dalam pada itu, Kajol berkata, ini adalah kunjungan kali pertamanya ke negara ini dan cukup teruja dengan keramahan peminat yang disifatkan cukup sopan.

Bagaimanapun kedatangan julung kalinya itu tidak ditemani oleh suaminya aktor Ajay Devgan.

“Sejak saya sampai ke Kuala Lumpur ramai peminat yang menyapa dan melambai ke arah saya.

“Paling saya hormati mereka peramah dan paling penting penuh sopan santun,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran saluran Astro Box Office (ABO) BollyOne HD 251 yang mengkhususkan penyiaran program eksklusif dari Bollywood, Kajol berkata, ia satu tindakan baik selain memberi peluang kepada peminat yang menggemari filem daripada India.

Jelas Kajol, keunikan filem-filem dari Bollywood yang penuh warna membuatkan penonton menggemarinya dan yakin saluran itu akan mendapat sambutan hangat.

“Peminat filem Bollywood pasti akan teruja dengan saluran itu dan saya yakin ia akan mendapat sambutan hebat.

“Biarpun berbeza bahasa namun penonton masih boleh meminati karya-karya dari India kerana ia istimewa dan penuh warna,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kajol berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem terbaharunya terbitan suaminya dengan membawakan watak isteri mafia.

Selain itu, Kajol akan kembali bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi sebuah filem arahan Rohit Shetty.

Selain KKHH, Kajol juga popular menerusi  filem seperti Dilwale Dulhania Le JayengeKabhi Kushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.