JPP Akui Pemilihan PKR Lemah

Petaling Jaya – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengakui PKR mempunyai kelemahan dalam menempuh pemilihan parti tahun ini.

Jelas Pengerusinya Datuk Johari Abdul, jawatankuasanya akan mencadangkan kepada parti untuk memperbaiki pemilihan kali ini berdasarkan pengalaman yang menyaksikan kekalutan yang berlaku selama hampir lima bulan pemilihan itu.

Untuk rekod pemilihan PKR bermula pada Mac yang lalu.

“Kita tidak menafikan bahawa pemilihan ini perlu diperbaiki pada masa akan datang, isu gangster misalnya, tidak adil jugaklah kekalutan itu disebabkan oleh kami sebab mereka yang mencetuskan pemilihan sebelum ini adalah bukan ahli parti.

“Kami bukan sempurna, kami akan mencadangkan macam mana nak pertingkatkan pemilihan pada parti,” katanya dalam sidang media JPP di Ibu Pejabat PKR hari ini

Dalam masa sama beliau menjelaskan keputusan pemilihan parti itu mengambil masa yang lama kerana tidak mahu sebarang kesilapan dalam menentukan jumlah undi yang sebenar bagi mengelakkan sebarang bantahan.

“Kami tidak mahu keputusan (salah) dan kita betulkan, sebab itu kita ambil masa untuk umumkan, ini menunjukkan kita telus, kita terima semua aduan,” jelasnya.

Keputusan pemilihan rasmi parti itu dimaklumkan setakat ini tidak mempunyai bantahan melainkan 553 daripada semua cabang sebelum ini yang telah diselesaikan.

Manakala aduan yang diusulkan oleh bekas ahli parti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak diteruskan selepas penyingkirannya daripada parti itu yang disifatkannya tidak relevan lagi.

“Berkenaan jumlah Khalid, undi beliau tidak diambil kira sebab dia dah dipecat daripada parti.

“Jumlah terakhir seperti yang diumumkan sebelum beliau dipecat.

“Jadi tidak relevan untuk terus kira lagi,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.