Gereja Akan Terus Berjuang Untuk Kalimah Allah

Kuala Lumpur – Gereja Katolik Malaysia akan meneruskan perjuangannya menuntut kebenaran menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguannya Herald, dengan memfailkan permohonan semakan semula minggu depan.

Ia bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya merayu semula pengharaman itu sebelum ini, kata seorang daripada peguamnya.

Katanya, permohonan semakan semula gereja itu mungkin difailkan seawal Isnin depan dan mereka akan mendapatkan barisan panel hakim baru untuk mendengar kes itu.

“Kami terpaksa memfailkan permohonan ini kerana terdapat kesalahan undang-undang yang serius dalam penghakiman majoriti,” kata peguam itu.

Beliau berkata di bawah Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995, permohonan semakan semula dibenarkan bagi mengelakkan ketidakadilan atau penyalahgunaan proses mahkamah.

“Dokumen mahkamah sudah sedia dan kami sedang menunggu pihak berkuasa gereja menandatangani afidavit menyokong semakan semula itu,” peguam berkata.

Empat daripada 7 hakim dalam panel terdahulu menolak permohonan gereja itu, memutuskan Mahkamah Rayuan betul dalam keputusannya mengharamkan penggunaan perkataan itu dalam Herald.

Mereka adalah Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar yang membentuk majoriti.

Tiga hakim lain – Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa – pula mengatakan rayuan sepatutnya dibenarkan.

Arifin yang membacakan keputusan majoriti hakim berkata, permohonan rayuan gereja harus ditolak kerana Mahkamah Rayuan melakukan ujian yang objektif memastikan Menteri Dalam Negeri menggunakan budi bicara dalam mengharamkannya.

Bagaimanapun, ketua hakim itu mengatakan kenyataan Mahkamah Rayuan yang ‘Allah’ bukan aspek penting agama Kristian, dalam menyokong keputusan menteri, adalah komen yang dibuat secara sepintas lalu.

Arifin berkata satu lagi sebab menolak permohonan itu ialah gereja menggunakan prosedur yang salah di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kesahihan enakmen negeri yang mengawal dan mengehadkan penyebaran doktrin agama bukan Islam di kalangan umat Islam.

Beliau berkata prosedur yang betul diperuntukkan di bawah Perkara 4(3) Perlembagaan Persekutuan di mana prosiding mesti bermula dengan kebenaran dari hakim Mahkamah Persekutuan.

Malanjum berkata walaupun permintaan penerbit akhbar mingguan itu bertentangan dengan keputusan menteri, perkataan itu digunakan secara meluas di Sabah dan Sarawak.

“Itu sahaja sudah cukup untuk membuat semakan semula keputusan Mahkamah Rayuan dan kebenaran harus diberikan,” katanya.

Beliau juga menegaskan Herald diterbitkan selama 14 tahun sebelum larangan itu dikuatkuasakan oleh menteri.

“Tidak terdapat bukti ketenteraman awam terjejas semasa tempoh itu dan penggunaan perkataan itu juga tidak dilarang dalam penerbitan lain seperti Alkitab dan kitab suci Sikh.

Beliau berkata walaupun kes itu hanya melibatkan seksyen Bahasa Malaysia Herald, keputusan Mahkamah Rayuan seolah-olah mengharamkan terus penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh bukan Islam dalam semua bentuk dan semua keadaan.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, yang mengetuai panel hakim berkata, pengharaman penggunaan kalimah Allah itu dibuat bagi menghalang penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.

Beliau juga berkata penggunaan kalimah itu, jika dibenarkan, akan menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.

Apandi menjelaskan keadaan yang ditetapkan kerajaan itu tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

“Ia merupakan dapatan bersama kami yang penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian,” kata Apandi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.