27 Serangan Senjata Gas Beracun Di Syria, 35 Terbunuh, 920 Cedera

Syria – Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria (SN4HR) melaporkan telah berlaku sekurang-kurangnya 27 serangan sejak awal tahun ini yang menggunakan senjata gas beracun yang mengakibatkan kematian 35 orang, 8 antaranya kanak-kanak dan 4 wanita, manakala 920 orang lain mengalami kecederaan.

Siri serangan ini disasarkan di tiga buah daerah iaitu di Rif Dimasyq, Idlib dan Hama.

Tentera rejim Al-Asad dipercayai telah menggunakan gas klorin yang berupaya merosakkan sistem pernafasan dan tubuh badan mangsa jika dihidu.

Gas sarin yang mempunyai kesan yang lebih teruk berbanding gas klorin dilaporkan tidak digunakan setelah ia diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan rasmi White House dua hari lalu, kerajaan Amerika Syarikat telah berjaya menghapuskan senjata-senjata kimia rejim Al-Asad termasuk gas sarin di atas kapal tentera MV Cape Ray di Laut Mediterranean.

Pada 21 Ogos tahun lepas, ratusan orang mati disebabkan serangan tentera rejim ke atas orang awam yang menggunakan gas sarin di bandar Ghouta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.