Saya Bertanding Selepas Dapat ‘Wahyu’ Tuhan, Kata Calon Bebas PRK Sungai Kandis

SHAH ALAM – Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis berharap diberikan peluang berkhidmat dengan kerajaan sekali lagi.

K Murthy, 60, yang juga seorang pesara kerajaan berkata, beliau mahu terus berkhidmat kepada kerajaan Selangor, dan kali ini melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil rakyat, berikutan beliau percaya pengalamannya selama 34 tahun boleh dimanfaatkan rakyat.

“Saya mahu mencipta sejarah seperti Dr Mahathir. Dr Mahathir diberikan peluang untuk menerajui negara dua kali. Justeru, saya melihat ini sebagai peluang kedua saya untuk berkhidmat kepada Selangor dan ini boleh dilakukan jika pengundi Sungai Kandis memilih saya,” katanya selepas diumumkan sebagai satu daripada tiga calon PRK Sungai Kandis, semalam.

Murthy yang memilih logo pen, bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Bapa kepada empat anak yang berasal dari Klang, berkata beliau bukan bertanding kerana PAS tidak meletakkan calon.

“Saya membuat keputusan untuk bertanding selepas menerima ‘wahyu’ dari Tuhan. Hanya semalam baru saya membuat keputusan.

“Oleh itu, saya letakkan kepada Tuhan (sama ada akan menang atau sebaliknya). Pengundi akan memberitahu jika mereka menerima saya dan saya akan buktikan melalui ceramah saya,” katanya.

Pada masa sama, Murthy berkata, beliau akan menggunakan kefasihannya dalam dialek Hokkien untuk menarik pengundi Cina di Sungai Kandis.

Katanya, beliau mempelajarinya ketika membesar di kawasan ramai masyarakat Cina.

“Saya bergaul dengan ramai kawan dari masyarakat Cina ketika saya muda dan saya mempelajari bahasa itu melalui mereka. Jadi, saya boleh berbahasa Hokkien dan saya percaya ini kelebihan saya untuk memperoleh undi daripada pengundi Cina dan India,” katanya. – BH

One thought on “Saya Bertanding Selepas Dapat ‘Wahyu’ Tuhan, Kata Calon Bebas PRK Sungai Kandis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.