Kerajaan Warisan Rosakkan Sabah, Ganggu Dasar Yang Bermanfaat Kepada Rakyat – Maximus Ongkili

KOTA KINABALU – Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dihentam seorang pemimpin pembangkang yang mengatakan pentadbiran baru itu tidak melakukan apa-apa yang bermanfaat untuk Sabah dalam 60 hari pertama memerintah.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan baru itu sudah merosakkan negeri dan menarik balik bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pendek kata, tiada apa yang boleh dibanggakan dalam 60 hari kerajaan sekarang ini.

“Mereka cuma memanaskan kerusi. Kabinet Sabah sepatutnya mencipta penyelesaian yang kukuh, bukannya mengganggu dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau menghentam pengumuman kerajaan yang ia akan memberikan kerakyatan kepada 200,000 orang, mengatur pekerja asing haram dan membatalkan penganugerahan geran tanah adat komunal.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata “penyelesaian” itu menghalang kemajuan negeri.

“Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri mesti dijelaskan kepada rakyat.

“Pelaksanaannya mesti telus dan dilakukan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya.

Ongkili mempersoalkan kesahan kerajaan negeri, mengatakan ia sedang dipertikaikan di mahkamah, merujuk kepada saman yang difailkan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman mencabar kesahan pelantiakn ketua menteri sekarang, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata selagi isu kesahan kerajaan negeri belum selesai, ahli PBS harus kekal bersama parti dan menambah: “Jangan lari daripada perjuangan kita.”

Beliau menasihatkan ahli dan penyokong PBS supaya terus menolak kerajaan sekarang sehingga mahkamah menentukan statusnya.

“PBS akan terus bersuara dan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi memastikan undang-undang dan peraturan kita tidak dilanggar, terutama melibatkan hak rakyat Sabah sebenar,” katanya. – Fmt

One thought on “Kerajaan Warisan Rosakkan Sabah, Ganggu Dasar Yang Bermanfaat Kepada Rakyat – Maximus Ongkili

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.