Video: Pakar Sains Ulas Insiden Buaya ‘Hantar’ Mayat Ke Tebing Sungai

Kejadian seekor buaya menolak mayat seorang lelaki ke tebing sungai, seperti mahu ‘menghantar’ jenazah itu kepada penduduk kampung di sungai Biatan Lempake, Kabupaten Berau, Kalimantan Timur, Indonesia pada Rabu adalah normal.

Ketua Pusat Penyelidikan Biologi Herpetologi LIPI Amir Hamidy berkata, dari sudut sains situasi itu tidak boleh dikaitkan dengan ‘permintaan’ pawang buaya, sebaliknya ia menjadi perkara biasa bagi binatang liar itu menghantar ‘mangsanya’ ke darat sebelum dimakan.

“Ini kerana biasanya buaya tidak dapat menelan mangsanya secara terus melainkan secara berperingkat. Sementara (menunggu untuk dimakan), jasad mangsa akan disembunyikan sehingga menjadi busuk bagi memudahkan haiwan itu menelannya.

“Ia hanyalah kebetulan saja kerana jika diletakkan di darat, mayat itu bolah menjadi busuk dulu. Jadi, tidak boleh dikaitkkan dengan pawang, kerana berdasarkan sains buaya itu adalah haiwan liar, maka sifatnya adalah seperti itu,” katanya, memetik Detik.com, hari ini.

Media tempatan melaporkan ketika kejadian, mangsa, Sarifuddin sedang mandi bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Abdulloh sebelum dia disambar buaya.

Rakan mangsa segera meminta bantuan penduduk kampung bagi mencari mangsa.

Ketika operasi mencari dan menyelamat sekitar jam 9 pagi Rabu lalu, seekor buaya dirakam sedang menggonggong mayat mangsa di tengah sungai dan meletakkannya di tebing sungai.

Rakaman video itu menjadi tular di laman sosial dan mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk setempat, yang segelintirnya berpendapat bahawa buaya itu berbuat demikian selepas ‘diminta’ oleh pawang supaya menyerahkan jasad mangsa.

Mengulas lanjut, Amir berkata, buaya tidak boleh menelan mangsanya melainkan bahagian tubuh mangsa dipotong atau dirobekkan terlebih dahulu.

Katanya, jasad yang tidak boleh terus ditelan oleh buaya akan disimpan di darat dan menunggu hingga menjadi busuk dalam kira-kira dua hingga empat hari, sebelum binatang itu kembali ke tempat ‘persembunyian’ itu untuk memakannya.

Tambahnya lagi, buaya akan membenamkan mangsa di dalam air bagi tujuan melemaskan, kemudian baharulah menelan mangsanya.

“(Tetapi) Tidak mungkin terus ditelan sebaliknya (badan mangsa) akan dicabik-cabik dahulu lalu dimakan. Kalau mangsa itu adalah manusia, mereka akan ditenggelamkan dulu agar tidak melawan,” katanya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.