Thailand Ikut Jejak Indonesia, Tarik Diri Bida Tuan Rumah Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR – Thailand hari ini mengikut jejak Indonesia, menarik diri dari pencalonan untuk menjadi tuan rumah bagi Piala Asia 2023.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengumumkan perkara itu berkata berikutan itu, hanya tinggal dua negara yang akan bersaing merebut hak menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 nanti iaitu China dan Korea Selatan.

“Bagaimanapun, punca Thailand menarik diri daripada pembidaan masih belum dipastikan,” lapor agensi berita China Xinhua.

AFC pada awal bulan ini menganjurkan bengkel bidaan untuk proses pembidaan dengan menjemput pegawai dari China, Thailand dan Korea Selatan ke Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara itu.

Keputusan akhir berhubung pembidaan sebagai tuan rumah kejohanan itu dijangka dibuat pada 2018.

Korea Selatan yang tidak pernah menjadi tuan rumah kejohanan itu sejak tahun 1960, dianggap sebagai saingan utama China.

Emiriah Arab Bersatu akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan Piala Asia 2019 yang akan berlangsung di antara 5 Januari hingga 1 Februari 2019, yang buat pertama kali, penyertaannya berkembang daripada 16 pasukan kepada 24 pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.