Putera Saudi Ditahan Kes Serang Pemandu

DUBAI – Seorang putera Arab Saudi ditahan, selepas rakaman video menunjukkan dia menyerang seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai, kata polis.

Menurut Reuters, rakyat Arab Saudi biasanya jarang mengutuk keluarga diraja yang amat berpengaruh di negara itu.

Rakaman itu dibuat oleh penyerang itu sendiri, menunjukkan seorang pemandu warga Yaman bertekak mengenai tempat parkir di depan rumahnya.

Pemandu itu kemudian kelihatan direntap pada bahagian kolar baju dan dimaki hamun tatkala darah mula menitis daripada mulutnya, lapor BH.

Sementara itu, Polis Arab Saudi melaporkan, Raja Salman mengarahkan penahanan Putera Saud bin Musaid kerana melakukan serangan untuk menunjukkan beliau akan menghukum sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Pengumuman itu dilakukan di laman Twitter saluran televisyen kerajaan, Ekhbariya dengan hashtag ‘Seorang putera menyerang penduduk awam.’

Sejak 2012, kritikan terhadap dasar atau tindakan pegawai kanan Arab Saudi menjadi viral di media sosial sehingga membawa kepada lima kes pemecatan.

Namun, kritikan orang ramai jarang menyasarkan keluarga Saud yang mempunyai beribu-ribu ahli keluarga.

Tahun lalu, seorang putera Bani Saud dihukum mati selepas disabitkan kes menembak mati seorang warga negara dan ia adalah contoh hukuman jarang berlaku ke atas kerabat diraja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.