Pelajar Tahfiz Hilang Belum Ditemui

KUALA LUMPUR – Pelajar Pusat Tahfiz Al Aziziah, Taman Keramat, Ampang, Aqmal Khaleq Firman Hasani,11, yang dilaporkan hilang sejak petang semalam masih gagal dijumpai.

Ibunya, Nor Laily Zakaria,37, berkata setakat ini, masih tiada perkembangan mengenai anak sulung dari empat beradik itu dan dia sekeluarga sedang berusaha mencarinya.

Katanya, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak dekat Setiawangsa pada jam 1.20 pagi tadi sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Sehingga pagi ini, belum ada sebarang petunjuk di mana dia (Aqmal Khaleq) berada. Kami juga belum menerima sebarang maklumat daripada orang awam yang mungkin ada melihatnya di mana-mana.

“Kami masih mencarinya begitu juga pihak polis. Sebagai ibu sudah tentu saya bimbang dan berharap dia dapat ditemui segera. “katanya, lapor BH.

Nor Laily berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar anaknya bertindak demikian dan kehilangan Aqmal Khaleq hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh pengurusan tahfiz semalam.

Katanya, anaknya tinggal di asrama pusat tahfiz itu sejak tiga tahun lalu dan kali terakhir mereka bertemu adalah pada Ahad lalu.

“Dia tiada apa-apa masalah, cuma biasalah kalau ada kerja diberikan tidak siap tetapi saya anggap itu adalah perkara normal.

Tambah Nor Laily, jarak dari rumah dengan sekolah tahfiz berkenaan hanyalah kira-kira 200 meter tetapi, anaknya tidak pulang ke rumah sebaliknya menghilangkan diri.

“Saya tak boleh selalu menziarahinya kerana tidak mahu dia hilang fokus. Setahu saya, dia tak ada masalah tetapi, kalau ada kerja hafazan yang diberikan tak siap, saya anggap itu perkara normal.

“Saya pun tak berani untuk mengulas lanjut kerana saya pun tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku atau dia ada ikut sesiapa kerana tidak berada di sana,” katanya.

Katanya, sebagai ibu dia bimbang dengan keselamatan diri anaknya itu dan berharap sesiapa yang ada terlihat Aqmal Khaleq boleh menghubunginya di talian 010-221 2342 atau suaminya, Firman Hasani Selamat, 012-326 2629.

Aqmal Khaleq Firman Hasani disedari tidak berada dalam kelasnya pada jam 2 petang semalam oleh gurunya yang kemudian memaklumkan kepada keluarga.

Dia dipercayai berada bersama seorang rakannya yang dikenali sebagai Danial, berusia 13 tahun dan difahamkan keluarga rakannya itu juga sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.