MBI Giatkan Usaha Tangkap Anjing Liar Sekitar Ipoh

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meningkatkan operasi menangkap anjing liar di sekitar kawasan bandar raya bagi mengekang penularan penyakit anjing gila atau rabies selepas kes pertama di Perak dikesan di Kuala Sepetang, Taiping.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata pendekatan tersebut juga dilakukan bagi meredakan ketakutan orang ramai berkaitan wabak yang boleh meragut nyawa itu.

“Anjing-anjing liar dan terbiar yang ditangkap akan dilupuskan jika dikesan berpotensi membawa penyakit manakala yang tidak membawa penyakit, kita akan lepaskan di tempat tertentu,” katanya.

Zamri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Sempena Kempen Perak Bersih di Taman Dr Seenivagasam di sini, hari ini, bersama 1,000 individu terdiri daripada warga bandar raya dan kakitangan MBI.

Selain itu, Zamri berkata pihaknya juga sedang giat menjalankan program pengkasian atau pemandulan anjing bagi memastikan pembiakannya berada pada tahap terkawal.

“Dalam masa yang sama, jika pembiakannya berjaya kami kawal, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan risiko penyakit yang dibawa oleh anjing-anjing liar ini.

“Kami percaya penyakit rabies ini tidak akan menular ke Ipoh sekiranya langkah-langkah pencegahan dibuat daripada awal dan secara berterusan,” katanya.

Kes positif rabies pertama di Perak dikesan di Kuala Sepetang pada 13 Julai lalu selepas seekor anjing mati setelah sembilan hari menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun. — BERNAMA

One thought on “MBI Giatkan Usaha Tangkap Anjing Liar Sekitar Ipoh

  • August 18, 2017 at 7:16 pm
    Permalink

    Assalamualaikum..
    Saya duduk di Taman Harilela, Off Jalan Raja Nazrin Shah. Belakang stesen minyak Petron.

    Di Taman ini bukan saya banyak anjing liar tapi tatkala DBI mengutip sampah, sampah yang telah di kumpulkan telah di tarik oleh anjing-anjing liar tersebut dan disepahkan di merata tempat terutama di jalan raya dan lebih menyedihkan lagi di dalam taman di depan rumah kami. Sekarang ada segelintir anjing betina yang telah beranak dan anak-anaknya sebanyak 4-5 ekor. Anjing-anjing tersebut juga ada telah di jangkiti penyakit kurap.

    Harap pihak DBI, sila ambik tindakan yang segera.

    Sekian, terima kasih.

    Yang benar,
    Zeleha bt Ramli
    No. 14, Lebuhraya Harilela
    Taman Harilela
    31350 Ipoh

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.