Mahathir Pertahan Tindakan Pecat Anwar Pada 1998

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakannya untuk memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalannya hampir 20 tahun lalu.

Mantan perdana menteri itu berkata, keputusan untuk memecat Anwar adalah ‘mengikut situasi ketika itu’.

Beliau berkata demikian dalam sesi Facebook secara langsung ketika menjawab soalan daripada pengerusi Kumpulan Multimedia Thailand, Suthichai Yoon yang menyoal sama ada beliau menyesal memperlakukan Anwar seperti yang dilakukannya.

“Sekarang berbeza, jika kita terus membawa kisah silam, kita tidak boleh bekerja dengan semua orang.

“Kamu akan terus berlawan dengan musuh kamu selama-lamanya dan ini adalah buruk,” katanya.

Justeru kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, beliau tidak mahu terheret dengan kisah lampau.

Dr Mahathir dalam satu sidang media pada 22 September 1998 mendakwa Anwar terbabit dalam perlakuan luar tabii dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

Beliau baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi PH, digandingkan bersama bekas seterunya, Anwar yang dilantik selaku Ketua Umum untuk mengepalai PH menghadapi PRU14 tidak lama lagi.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan berkaitan tuduhan yang pernah dilemparkan olehnya terhadap Anwar suatu ketika dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin mencabar Dr Mahathir menjelaskan kepada rakyat adakah beliau masih berpegang kepada kenyataan mengenai Anwar pada September 1998.

Dalam ucapan sempena Ceramah Perdana Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam, malam Isnin baru-baru ini, Dr Mahathir dilihat enggan menyahut cabaran Najib.

Beliau sebaliknya mahu perkara silam dilupakan sambil menambah, pakatan pembangkang kini perlu bekerjasama demi menjatuhkan Umno-Barisan Nasional (BN). – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.