Lebih 20,000 Sertai Majlis TPM Bersama Rakyat Di Kompleks YKK

KOTA BHARU – Lebih 20,000 rakyat pelbagai peringkat membanjiri Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) untuk bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Orghe Parlimen Terre (OPT) di Ketereh di sini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri diiringi 1,000 anak muda yang berkonvoi membawa bendera dan panji-panji bersama 30 motosikal berkuasa tinggi dan 500 motosikal lain.

Beliau yang diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia merangkap Ketua UMNO bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, kemudiannya diarak masuk ke Kompleks YKK sebagai Pahlawan Melayu dengan didahului pahlawan membawa senaskah al-Quran 30 juzuk tulisan tangan; keris Melayu lama dan 100 orang pembawa pulut semangat.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Yahya Mamat.

Majlis dimulakan dengan alunan salawat daripada para hadirin diikuti bacaan doa serta ayat suci Al Quran sebelum dimulakan pidato khas dari Annuar.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid akan menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada tokoh-tokoh berjasa dari Parlimen Ketereh dari 25 kategori termasuk pendidikan, agama, usahawan, budaya, perajurit, perubatan tradisional terdiri pelbagai bangsa. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.