Kematian Anak Dipolitikkan, Shahidan Buat Laporan Polis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik komen tidak berasas dengan mengaitkan kematian anaknya pada Disember 2001.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di Kangar petang tadi kerana menyifatkan perbuatan pemilik akaun Facebook ‘Jeffery Teoh’ itu berunsur provokasi politik yang berniat jahat serta menyentuh sensitiviti keluarga.

Shahidan, yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata beliau terkejut dan kecewa dengan perkara itu kerana pemilik akaun Facebook itu sanggup mempermainkan soal kematian.

Anak bongsu beliau yang berusia tiga tahun, Ameer Mohammad Fawwaz, meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat 31 Kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur, dalam kejadian pada 10 Dis 2001.

“Ini satu fitnah yang tidak berasas. Seolah-olah saya membunuh anak sendiri. Sedangkan komen itu dibuat berdasarkan kenyataan saya berkenaan Tun Mahathir (Mohamad),” katanya kepada pemberita di Kangar.

Shahidan berkata kenyataan yang dimuat naik individu terbabit di ruangan komen Facebook berhubung artikel bertajuk ‘Walau hubungan baik, Shahidan tetap lawan Dr M’ yang disiarkan sebuah portal berita adalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan kredibilitinya sebagai seorang pemimpin.

”Mereka boleh berperang dengan saya dalam politik tetapi jangan menyentuh perkara peribadi dan hal keluarga. Tindakan tegas polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bagi menyiasat motif dia berbuat demikian,” kata Shahidan, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

 

Sebanyak 22 laporan polis dibuat berkenaan fitnah ini di seluruh negara termasuk 19 laporan dibuat di Kangar dan satu di Arau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew ketika ditemui berkata pihaknya dan SKMM akan menyiasat komen daripada pemilik akaun Facebook berkenaan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.