Imigresen Tahan 766 Pengawal Keselamatan Warga Asing

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 766 pengawal keselamatan warga asing tanpa permit kerja sah dan 13 majikan dari 2015 hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sepanjang tempoh itu, seramai 1,556 orang diperiksa dalam 379 operasi yang memberi tumpuan terhadap pengawal keselamatan warga asing.

Dari 766 orang yang ditahan, seramai 342 adalah warganegara Nepal, Pakistan (185), India (78), Indonesia (78) dan selebihnya adalah lain-lain warganegara, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat itu,” katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, JIM Putrajaya mengadakan Operasi Penguatkuasaan OP KUTIP di sebuah kondominium di Subang Jaya dekat sini yang dipercayai menggunakan khidmat pengawal keselamatan tanpa permit kerja sah, semalam.

“Empat lelaki warganegara Nepal berumur dalam lingkungan 30-an ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Seorang lelaki Malaysia yang merupakan penyelia pengawal keselamatan diberi notis hadir ke pejabat Imigresen bagi memberi keterangan lanjut dan membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata operasi itu, yang bermula pada 7 malam, diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohammed Yuzaiman Ahmad bersama-sama lapan pegawai Imigresen. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.