Hasrat Mahathir Nak Tanding PRU14 Tak Mengejutkan, Kata PAS

KOTA BAHRU – Hasrat Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak mengejutkan, kata Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad.

Ujarnya, Dr Mahathir diketahui umum akan sentiasa memastikan dirinya berada pada kedudukan tertinggi sementelah pernah berkuasa selama 22 tahun ketika menjadi perdana menteri.

“Saya tidak terkejut dengan Mahathir ni kerana dia orang yang memang selalu nak duduk di atas,” katanya kepada Antarapos selepas menghadiri Forum Perdana ‘Islam Jalan Penyelesaian’, di Dataran Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bahru, Kelantan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Dr Mahathir bahawa beliau sedia bertanding pada pilihan raya akan datang sekiranya ‘terdesak’.

Mahathir bagaimanapun berkata sehingga kini keadaan itu tidak timbul kerana parti itu masih mempunyai ramai calon yang layak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut diminta mengulas struktur baru PH yang diumumkan minggu lalu.

“Saya tak faham (PH) guna model apa. Kita pun tak faham siapa yang berkuasa pengerusi ke? penasihat ke? Kita tak tahu,” ujarnya.

PH Khamis lalu mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum.

Pemimpin PH sebelum ini menafikan struktur baru gagasannya akan mewujudkan pemusatan kuasa antara Dr Mahathir, Wan Azizah serta Anwar, malah mereka tetap berpegang bahawa sebarang keputusan akan dibuat secara konsensus.

Mereka juga berpegang kepada jaminan Dr Mahathir bahawa taraf semua parti komponen dalam PH adalah sama rata. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.