Guan Eng Nafi P Pinang Enggan Tandatangan IBR

Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan kerajaan DAP Pulau Pinang enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sebaliknya, beliau berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menghubungi kerajaan
negeri untuk berbuat demikian.

“Tapi sekiranya mereka rujuk kepada kita, kita boleh bincang bahawa IBR bukan hanya tinggal ikrar sahaja dan mesti diikuti
dengan tindakan-tindakan konkrit untuk banteras rasuah,” katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Pulau Pinang, di George Town malam tadi.

Turut hadir pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, presiden PPBM Tan Sri
Muhyiddin Yassin, timbalan presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow, pengerusi PKR negeri Datuk Mansor Othman dan barisan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sabtu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dipetik sebagai berkata SPRM kesal dengan keengganan
kerajaan Pulau Pinang menandatangani IBR yang merupakan komitmen bagi sesebuah institusi untuk bersama-sama
memerangai musuh nombor satu negara itu.

Pada 12 Julai lepas, kerajaan Pulau Pinang menyifatkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.