‘Dr M Tak Boleh Terima Orang Lain Lebih Tinggi’

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBTM) Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak dapat menerima kenyataan dan hakikat bahawa terdapat pemimpin lain yang berkedudukan lebih tinggi daripada beliau ketika ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sikap negatif itu terserlah apabila Dr Mahathir menyifatkan kedudukannya dalam Pakatan Harapan secara ‘tidak rasmi’ sama seperti kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kalau presiden parti, memanglah kedudukan itu sama. Mat Sabu (Mohamad Sabu) pun presiden parti (Parti Amanah Negara). Macam-macam parti ada kat Malaysia ni, parti-parti kecil, sesiapa pun boleh jadi presiden parti.

“Cuma, harus ingat, perdana menteri (Najib) adalah presiden parti (UMNO dan pengerusi Barisan Nasional) yang menguasai kerajaan ketika ini. Sudah tentu ia sangat berbeza,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan dan menjadi ‘top dog’ (pemimpin dominan) dalam hierarki gabungan pembangkang itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Dr Mahathir masih mahu penggantinya mengikut telunjuk beliau walaupun telah meletak jawatan sebagai perdana menteri.

“Mula-mula Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) jadi perdana menteri pun dia nak suruh ikut telunjuk dia. Kemudian dia ingat bila Datuk Seri Najib jadi perdana menteri akan ikut semua arahan dia. Tapi Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri mesti ada cara tersendiri. Pemikiran tersendiri,” katanya.

Menurutnya apabila gagal memastikan Najib mengikut arahannya, Dr Mahathir memulakan langkah nak menggulingkan Najib sebagai perdana menteri.

 

“Bekerjasama dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sekarang walaupun Anwar tu dulu dia tak percaya, (kata) tak ada moral dan sebagainya, sekarang dah sama taraf, dah ada moral balik dah,” katanya.

Sebagai bekas perdana menteri, Dr Mahathir tahu beliau tidak lagi boleh menandingi kuasa Najib dalam kerajaan, sebab itu beliau berebut-rebut mahu jawatan dalam gabungan pembangkang dan persamaan jawatan pengerusi itu mungkin boleh memuaskan hati beliau, katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.