DAP kini Akur Adakan Pemilihan Semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC)

PUTRAJAYA – DAP kini akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan menyatakan kesediaan untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu juga akur dengan arahan RoS supaya menggunakan senarai 2,576 perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Dis 2012 serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula itu.

Kok berkata pemilihan semula CEC itu akan diadakan melalui kongres khas seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Beliau bagaimana berkata pemilihan semula itu dibuat ‘di bawah protes’ dan  tidak akan menjejaskan usaha parti untuk mengambil tindakan perundangan terhadap RoS sekiranya perlu.

Kok berkata demikian kepada pemberita selepas hadir di ibu pejabat RoS di sini hari ini bersama Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke bagi menyerahkan surat jawapan kepada surat yang mengarahkan pemilihan semua CEC diadakan seperti dikeluarkan jabatan itu kepada parti berkenaan Isnin lepas.

Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah semalam dilaporkan berkata pertubuhan itu kekal dengan keputusan bahawa DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Pada Rabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan berkeras untuk tidak mengadakan pemilihan semula CEC parti itu dengan alasan arahan yang dikeluarkan oleh RoS adalah berdasarkan berita palsu.

Dalam pada itu, Loke berkata pemilihan semula itu hanya boleh dilaksanakan selepas RoS mengesahkan senarai 2,576 perwakilan 2012 yang dihantar mereka hari ini seperti yang disyaratkan jabatan itu.

“Kami harap ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk disahkan bagi memudahkan kami melakukan tindakan lanjut,” kata Loke.
— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.